Yayasan Inovasi Malaysia (“YIM”) merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (“MOSTI”) ditubuhkan pada tahun 2008 melalui Mesyuarat Jemaah Menteri, bagi memacu inovasi dan kreativiti dalam kalangan rakyat Malaysia, terutamanya kepada kanak-kanak, belia, wanita, penduduk luar bandar, golongan yang kurang berpendapatan boleh belanja (“B40”) dalam piramid pendapatan, orang kelainan upaya (“OKU”), dan organisasi bukan kerajaan (“NGO”).
Program Inclusive SME Ecosystem (I-SEE) adalah kesinambungan daripada Program Berimpak Tinggi 6 (HIP 6) – Program Inovasi Inklusif yang telah dilaksanakan dari tahun 2015 dan tamat pada tahun 2020 selari dengan berakhirnya Pelan Induk PKS 2012 – 2020. YIM telah dipilih untuk menjadi Rakan Strategik oleh SME. Corp. Malaysia bagi pelaksanaan Program i-SEE ini.
Program i-SEE memberi peluang kepada syarikat PKS yang terpilih untuk membangunkan dan mengkomersialkan inovasi inklusif yang berpotensi bagi meningkatkan penjanaan pendapatan bermula dari tahun 2021 sehingga 2025. Program ini membolehkan usahawan syarikat PKS membentangkan prototaip/idea masing-masing bagi mendapatkan bantuan pembiayaan dalam bentuk geran sehingga *RM150,000 (maksimum).
Syarikat PKS yang terpilih akan melaksanakan projek selama dua belas (12) bulan yang merangkumi skop seperti berikut:
Objektif Program i-SEE telah ditambah baik terutama sekali selepas krisis pandemik COVID-19 yang menyebabkan sebahagian besar rakyat Malaysia terjejas dari pelbagai sektor industri. Selain matlamat untuk memperkasa golongan B40 dengan memanfaatkan inovasi, program ini juga akan menggalakkan transformasi komuniti, termasuk perusahaan mikro di kawasan luar bandar menerusi bimbingan dan penyediaan sokongan teknikal serta bantuan kewangan.